Selasa, 11 November 2008

PROSES MENENUN

Mencelup benang

Pada masa kini penenun-penenun mewarnakan benang secara moden. Mereka menggunakan pewarna kimia yang diimport dari Amerika, Jerman dan England. Benang yang diwarnakan secara tradisional menggunakan pewarna tumbuh-tumbuhan seperti kesumba (carthanus tinctorius), kunyit (turmeric) dan sebagainya. Pewarna ini dicampur dengan jus asid buah gelugur atau buah belimbing. Sebelum benang sutera diwarnakan, ia perlu dibersihkan dengan memasukkannnya ke dalam air yang bercampur abu kerana sutera yang dibawa masuk dari China adalah sutera mentah, kasar dan berwarna kekuningan. Abu yang digunakan untuk mencuci sutera itu adalah dari kulit durian atau tangkai buah kelapa. Selepas itu ia dibilas dengan air yang bersih dan dikeringkan. Hasilnya sutera menjadi putih, lembut dan halus dan sedia untuk diwarnakan.

Menerai Benang

Setelah tongkol benang diwarnakan dan dikeringkan ia dililit kepada batang buluh kecil untuk dijadikan benang peleting dengan bantuan alat rahat dan Darwin atau daun ruing. Darwin biasanya terdiri daripada bingkai yang dibina daripada palang-palang buluh yang dihubungkan dengan tali penjuru yang bertentangan. Pada bingkai ini dimasukkan setongkol benang yang kemudian benang ini dililitkan ke batang buluh yang dipanggil peleting dengan memusingkan pemutar rahat ynag merupakan satu lat untuk proses putaran. Rahat pada zaman moden ini terdiri daripada roda kayu sebesar jejari 12 inci yang dihubungkan ke tempat pemutar yang dipanggil tangan rahat.

Menganing Benang

Proses untuk penyediaan benang loseng dengan menggunakan alat anian yang terdiri daripada pemidang peleting dan bingkai pembuat loseng. Proses membuat benang loseng bertujuan menentukan berapa panjang benang yang perlu ditenun untuk mendapatkan saiz dan jumlah kain dikehendaki.

Menyapuk benang

Menyapuk dilakukan dengan menyusutkan dua urat benang loseng. Setelah zaman berlalu, cara menenun yang rumit telah mengalami sedikit perubahan. Sekarang untuk membuat latar belakang songket adalah lebih mudah dan cepat. Cara menenun latar belakang songket yang menggunakan teknik ikat memakan masa yang panjang dan tidak hairanlah kalau harganya terlalu mahal. Teknik menenun dan bahan yang digunakan dalam menghasilkan songket masih terpelihara sejak zaman berzaman.

Mengarat

Mengarat dimulakan dengan gelung bahagian bawah dahulu dan kemudian benang loseng diterbalikkan untuk dibuat gelung-gelung bahagian atas pula. Gelung-gelung ini dibuat dengan bantuan papan karat. Benang asing yang lebih tebal daripada benang loseng digunakan dalam membuat karat. Benang ini dimasukkan di bahagian bawah sebarisan benang loseng yang terangkat meninggalkn ruang yang disebut ruang belira iaitu ruang yang terjadi apabila kayu belira ditegakkan. Mengarat dimulakan dari bahagian hujung benang loseng.

Menyongket

Semasa menenun kain, penenun memasukkan kayu sumbi pada bahagian bawah kain yang ditenun. Kayu sumbi digunakan untuk mengawal supaya tepi kain yang ditenun itu sentiasa lurus mengikut lebar kain yang ditentukan.

Menenun

Penenun akan menggerakkan pijak karat dengan kakinya dan torak yang mengandungi dua lembar benang emas di dalamnya, disilang merentasi ruang belira. Selepas itu belira dikeluarkan dan benang emas disikat dan ditekan dengan gigi jentera supaya kedudukan benang pakan kelihatan kemas.

Tiada ulasan: