Selasa, 11 November 2008

PENGENALAN

Sudah menjadi lumrah setiap insan sukakan sesuatu yang indah dan cantik. Setiap insan juga secara tidak disedari mempunyai deria untuk memilih dan tidak pernah pula sesuatu yang dipilih itu tidak cantik. Sesuatu yang indah itu mempunyai ‘seni’ yang tersendiri dan seni yang paling indah ialah ‘hanya’ yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. dan kita, tanpa disedari memang diselubungi oleh seni yang indah itu dalam kehidupan seharian kita.

Memang tidak pernah terfikir oleh kita bahawa nenek moyang kita dahulu telah memahami dan menghayati ‘seni’ yang dihasilkan oleh mereka ternukil dari deria kreativiti serta bakat semulajadi yang dianugerahkan oleh Tuhan Yang Maha Kuasa. Kehalusan dan keunikan keaslian reka bentuk yang diilhamkan melalui ide dari alam semesta ciptaan Tuhan merupakan satu hasil kreatif yang akan menjadi khazanah ‘seni’ yang tidak ternilai.

Keaslian ‘pereka bentuk’ istimewa ini tidak dapat dinilai harganya secara khusus. Cetusan ide yang diluahkan terus menjadi satu visual yang sungguh ekspresif dan unik hinggakan ianya menjadi satu bahan komoditi ‘seni’ yang berharga.

Kehalusan reka bentuk dan buatan kain songket bukan sahaja melambangkan kekayaan khazanah seni tekstil Melayu tradisional, malah ianya adalah sebagai satu penggerak ide dan pemangkin kepada pereka-pereka tekstil generasi kini, khususnya pelajar-pelajar yang sedang mendalami selok-belok seni ini.

DEFINISI SONGKET

Kain songket merupakan tenunan yang dihasilkan daripada jalinan benang longsin (yang menunggu) dengan benang pakan (yang mendatang). Proses pada asasnya mudah, ini dapat menghasilkan ciptaan seni tampak yang indah dan menjadi kebanggaan bangsa. Pusat tenunan di Semenanjung bermula di Terengganu. Pada masa ini Terengganu dan Kelantan adalah pusat pengeluaran kain tenunan.

Tenunan sutera mempunyai corak yang mudah seperti corak Muar (susun melintang dan berdiri); corak Bugis (susunan bersegi kecil), corak melintang tapak catur, kain limar, kain pelangi, corak parang, rosak, hingga ke tenunan songket dengan corak bintang bertabur, jong sarat, dan teluk berantai.

Nama “kain songket” berasal daripada teknik membuat songket, iaitu menyongket atau menyolek bunga (emas) pada tenunan sutera. Pada amnya songket terbahagi kepada dua jenis, iaitu tekat tiga dan tekat lima. Nama tekat itu berkaitan dengan penggunaan bilangan lembaran benang sutera dan jarak antara lembaran benang emas yang disongket. Tekat tiga lebih sukar dan rumit daripada tekat lima dan hasilnya lebih halus. Penggunaan benang emas yang dikembar dua yang dilakukan dengan selembar benang sutera akan menghasilkan tenunan yang lebih bermutu dari segi teknik dan kesan.


Reka bentuk kain songket mengandungi badan, kepala, pucuk rebung, atau bunga lawi ayam (dalam bentuk pucuk rebung), diapit di antara kepala dan tepi kain.

Antara motif songket yang diilhamkan daripada tumbuh-tumbuhan ialah pucuk rebung, bunga lawi ayam, bunga baling, tapak kecupu, bunga tanjung, bunga cermai, bunga setelop, tampuk kesemak, tampuk manggis, dan buah delima. Manakala corak-corak songket yang abstrak dinamakan kasap, pecah lapan, tapak kacip, potong wajik, bunga tiga dara, bunga logam, bunga kerongsang, dan jong sarat.

Motif yang diilhamkan daripada alam sekitar pula dinamakan bintang buta, air molek, awan larat, dan teluk berantai. Yang diilhamkan daripada haiwan ialah bunga lawi ayam, unduk-unduk, bunga hati, dan sisik kelah.

Kain songket menggunakan warna seperti merah asam jawa, merah darah ikan, merah jambu, kuning penang masak, kuning lemak ketam, kuning tanah liat, kuning kunyit, hijau pucuk pisang, hijau serindit, hijau batang bemban, hijau lumut, hijau terusi, biru air laut, biru manis, ungu biji rembia (butir setar), ungu manis, kelabu asap, dan hitam.

Proses menenun adalah sama bagi kebanyakan negeri di Semenanjung Melayu. Perbezaannya mungkin terdapat dalam penggunaan alat-alat tenunan, istilah-istilah yang diberikan kepada proses menenun dan corak bunga songket yang digunakan.

Pada amnya menenun songket terdiri dari lapan proses. Proses ini diturunkan secara rahsia dari satu generasi ke generasi yang lain oleh penenun yang mahir. Penenun ini hanya menyampaikan pengetahuan dan kemahiran menenun kepada anak-anak dan cucu-cicit yang berminat sahaja.

CORAK DAN MOTIF SONGKET

kecantikan songket terletak pada reka corak yang halus dan rumit, serta motif yang dihasilkan di atas kain tenunan tangan. Terdapat lebih dari 100 motif tradisional yang ditenun di atas kain songket sarung. Penenun-penenun tradisional biasanya tinggal di kampung-kampung yang dikelilingi oleh bermacam-macam jenis pokok buah-buahan atau berdekatan dengan laut dan sering mengalami musim tengkujuh. Mereka sangat kreatif dan mempunyai daya imaginasi yang kuat dan pemerhatian yang tajam. Kebanyakkan motif songket datangnya dari nama-nama pokok dan sesetengah motif songket datangnya daripada nama kuih Melayu dan dipercayai kuih-kuih ini adalah kesukaan raja-raja seperti ‘seri kaya’, ‘wajik’ dan ‘tepung talam’.

Terdapat banyak corak dan motif pada kain songket. Kadang-kadang motif yang sama tetapi mempunyai nama yang berbeza. Sebagai contoh motif ‘bunga bintang’ di negeri Kelantan, ‘tapak sulaiman’ di negeri Sarawak.

Pakar penenun di Terengganu dan Kelantan sekarang jarang sekali mendraf atau merekakan corak songket terlebih dahulu sebelum mereka mula menenun. Biasanya mereka akan meniru terus daripada contoh-contoh songket lama yang mereka simpan. Kadang-kadang mereka mengambil corak daripada sarung songket yang lain apabila cork ini menjadi kegemaran ramai. Bagaimanapun untuk membuat corak-corak songket, seseorang itu perlu mempunyai sifat-sifat penyabar, baik dari segi penglihatan mahupun ingatan.

Struktur kain songket terdiri daripada:

a) Badan kain
b) Kepala kain / petak kain
c) Tepi kain / kaki kain
d) Pengapit kepala kain
e) Tanah kain
f) Punca
g) Pengapit badan kain
h) Kaki punca
i) Kendik

Jenis-jenis Utama Corak Songket

Corak pada kain songket terdapat enam jenis yang utama seperti berikut:

1) Songket bunga penuh
2) Songket bunga bertabur
3) Songket corak jalur
a) Jalur corak berdiri
b) Jalur corak melintang
c) Tepi kain
4) Songket corak siku keluang (zig-zag)
5) Songket tapak catur
6) Songket pucuk rebung


Corak kain songket kontemporari

Menurut pengusaha kain songket Encik Mohamed Hussein di Cik Minah Songket negeri Kelantan, corak kain songket temporari yang ada di negeri itu tidak banyak perbezaannya jika dibandingkan dengan corak songket masa dahulu. Corak songket temporari yang ada adalah berdasarkan kehendak dan citarasa pengguna kain songket. Walaubagaimanapun motif bunga-bungaan yang ada pada kain songket kini adalah motif yang dianggap moden berbanding dengan motif bunga pada zaman dahulu. Contohnya motif bunga raya, bunga ros, tumbuh-tumbuhan seperti paku-pakis, rempah-ratus, motif pua kumbu dari negeri Sarawak, motif tulisan,motif logo syarikat dan sebagainya. pekerja-pekerja dari sektor kerajaan kini telah mewajibkan pekerja-pekerja mereka memakai songket pada hari Jumaat iaitu memakai sampin dan baju melayu bagi kaum lelaki khususnya dan menunaikan solat Jumaat.


Nilai-nilai estetik pada corak songket kontemporari

Corak kain songket masa kini sudah banyak perbezaannya dari segi pengolahan susun atur dan motif yang digunakan mengikut kehendak pengguna. Zaman sekarang pengusaha kain songket lebih mengutamakan citarasa pelanggan mereka. Pelanggan boleh menempah motif-motif yang mereka minati. Bagi pengguna kain songket ini konsep keindahan dapat dinikmati pada sesuatu motif itu berdasarkan citarasa dan selera si pemakai. Begitu juga dengan syarikat-syarikat dan badan-badan tertentu yang menjadikan motif tulisan atau logo mereka untuk dijadikan motif pada kain songket sebagai pakaian rasmi syarikat mereka. Jelas di sini menunjukkan bahawa penggunaan motif kain songket kini mendapat satu era pembaharuan tentang pengaplikasiannya.

PROSES MENENUN

Mencelup benang

Pada masa kini penenun-penenun mewarnakan benang secara moden. Mereka menggunakan pewarna kimia yang diimport dari Amerika, Jerman dan England. Benang yang diwarnakan secara tradisional menggunakan pewarna tumbuh-tumbuhan seperti kesumba (carthanus tinctorius), kunyit (turmeric) dan sebagainya. Pewarna ini dicampur dengan jus asid buah gelugur atau buah belimbing. Sebelum benang sutera diwarnakan, ia perlu dibersihkan dengan memasukkannnya ke dalam air yang bercampur abu kerana sutera yang dibawa masuk dari China adalah sutera mentah, kasar dan berwarna kekuningan. Abu yang digunakan untuk mencuci sutera itu adalah dari kulit durian atau tangkai buah kelapa. Selepas itu ia dibilas dengan air yang bersih dan dikeringkan. Hasilnya sutera menjadi putih, lembut dan halus dan sedia untuk diwarnakan.

Menerai Benang

Setelah tongkol benang diwarnakan dan dikeringkan ia dililit kepada batang buluh kecil untuk dijadikan benang peleting dengan bantuan alat rahat dan Darwin atau daun ruing. Darwin biasanya terdiri daripada bingkai yang dibina daripada palang-palang buluh yang dihubungkan dengan tali penjuru yang bertentangan. Pada bingkai ini dimasukkan setongkol benang yang kemudian benang ini dililitkan ke batang buluh yang dipanggil peleting dengan memusingkan pemutar rahat ynag merupakan satu lat untuk proses putaran. Rahat pada zaman moden ini terdiri daripada roda kayu sebesar jejari 12 inci yang dihubungkan ke tempat pemutar yang dipanggil tangan rahat.

Menganing Benang

Proses untuk penyediaan benang loseng dengan menggunakan alat anian yang terdiri daripada pemidang peleting dan bingkai pembuat loseng. Proses membuat benang loseng bertujuan menentukan berapa panjang benang yang perlu ditenun untuk mendapatkan saiz dan jumlah kain dikehendaki.

Menyapuk benang

Menyapuk dilakukan dengan menyusutkan dua urat benang loseng. Setelah zaman berlalu, cara menenun yang rumit telah mengalami sedikit perubahan. Sekarang untuk membuat latar belakang songket adalah lebih mudah dan cepat. Cara menenun latar belakang songket yang menggunakan teknik ikat memakan masa yang panjang dan tidak hairanlah kalau harganya terlalu mahal. Teknik menenun dan bahan yang digunakan dalam menghasilkan songket masih terpelihara sejak zaman berzaman.

Mengarat

Mengarat dimulakan dengan gelung bahagian bawah dahulu dan kemudian benang loseng diterbalikkan untuk dibuat gelung-gelung bahagian atas pula. Gelung-gelung ini dibuat dengan bantuan papan karat. Benang asing yang lebih tebal daripada benang loseng digunakan dalam membuat karat. Benang ini dimasukkan di bahagian bawah sebarisan benang loseng yang terangkat meninggalkn ruang yang disebut ruang belira iaitu ruang yang terjadi apabila kayu belira ditegakkan. Mengarat dimulakan dari bahagian hujung benang loseng.

Menyongket

Semasa menenun kain, penenun memasukkan kayu sumbi pada bahagian bawah kain yang ditenun. Kayu sumbi digunakan untuk mengawal supaya tepi kain yang ditenun itu sentiasa lurus mengikut lebar kain yang ditentukan.

Menenun

Penenun akan menggerakkan pijak karat dengan kakinya dan torak yang mengandungi dua lembar benang emas di dalamnya, disilang merentasi ruang belira. Selepas itu belira dikeluarkan dan benang emas disikat dan ditekan dengan gigi jentera supaya kedudukan benang pakan kelihatan kemas.